Anwar tidak lagi relevan - Hasan

on 26 February 2013

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi relevan dalam konteks kepimpinan politik negara termasuk dilantik sebagai Perdana Menteri berikutan masalah moralnya yang tidak berkesudahan. 


Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, dalam soal agama juga Anwar tidak mampu menghujah balas kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadapnya terutama berhubung isu pluralisme dan liberalisme.

"Rakyat sebenarnya sudah muak dengan apa yang berlaku dan tidak mampu lagi menanggung aib disebabkan masalah moral yang bertimpa-timpa tanpa berkesudahan.

"Apa yang berlaku kepada Anwar akan dipalitkan kepada majoriti penduduk negara ini yang terdiri daripada penduduk Melayu Islam,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas ketiadaan kata sepakat dan ketetapan bagi melantik Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Dalam pada itu, Hasan berkata, petunjuk kepada penolakan kepimpinan Anwar menjadi semakin menyeluruh berdasarkan kepada ulasan, pandangan, pemerhatian dan kajian yang dilakukan para intelektual.
Beliau berkata, penemuan itu berjaya meyakinkan rakyat bahawa tidak ada gunanya mana-mana pihak termasuk DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membazirkan masa memberikan pelbagai alasan untuk terus menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Mengenai Pas pula, beliau berkata, parti itu kini kelihatan seolah-olah baru sedar daripada lamunan iaitu majoriti orang Melayu yang bakal menjadi pengundi mereka telah menolak Anwar.

"Seingat saya, sewaktu masih di dalam Pas, saya adalah di antara pimpinan Pas yang daripada awal-awal lagi mencadangkan supaya Perdana Menteri Malaysia mesti datang daripada jalur kepimpinan Pas.
"Bahkan saya telah menamakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon yang paling layak jika dibandingkan dengan Anwar,'' katanya lagi.

Sementara itu, Hasan mahu rakyat bangkit menolak pakatan pembangkang kerana jelas terbukti gabungan tiga parti pembangkang itu tidak boleh bersatu.

"Bukti pakatan pembangkang tidak boleh bersatu adalah begitu terang dan jelas terutama isu siapa bakal menjadi Perdana Menteri.

"Rakyat tidak sepatutnya memperjudikan masa depan negara dengan mengizinkan pembangkang menguasai Putrajaya kerana ia juga bererti kita reda melihat anak bangsa menerima bahana daripada ketidakprihatinan kita itu,'' ujarnya.

Sumber : Sini
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

 
© Tanah Melayu All Rights Reserved